RSS2.0

Nana Era FM, Akan Berkahwin

Rabu, 25 Mac 2009

Selepas beberapa kali cuba mengelak daripada menjawab soalan mengenai hubungan cintanya, penyampai radio Era dan bekas pelajar Akademi Fantasia 1 pada tahun 2003, Nurul Hana Che Mahazan atau Nana mengakui bakal menamatkan zaman bujangnya dengan jejaka pilihan hati.

Nana, 26, bagaimanapun masih berteka-teki mengenai tarikh sebenar dia bakal melangsungkan perkahwinan dengan Mohd Raqeem Brian, 34, seorang jejaka dari Kuching, Sarawak.

"Saya tidak boleh memaklumkan bila kami akan melangsungkan perkahwinan kerana masih banyak perkara perlu diselesaikan."

"Insya-Allah jika semuanya sudah selesai, saya akan beritahu" katanya.

Menurutnya, hatinya terbuka untuk menerima Pengurus Rancangan Hitz.fm sebagai teman hidup selepas wujud keserasian antara mereka berdua.

"Kami berkenalan dalam lif tempat kerja sebelum menjadi kawan baik. Saya dapati dia seorang yang berfikiran terbuka dan periang, jadi kami menjadi akrab sehinggalah mengambil keputusan untuk menjadi pasangan suami isteri" katanya.

Nana berkata, sebelum ini, dia agak keberatan menceritakan kisah peribadi kerana masih terlalu awal selain ia membabitkan banyak persediaan terutama menjelang hari perkahwinan.

"Keluarga kedua-dua pihak merestui hubungan kami" katanya.

Menurutnya, dia sudah bersedia bergelar isteri dan memikul tanggungjawab berumah tangga.

"Bagi saya usia bukan ukuran kerana orang lama dulu seawal belasan tahun sudah berumah tangga, apa yang penting adalah masing-masing sedar tanggungjawab" katanya.

Mengenai perkembangan kariernya, Nana berkata, dia kini hanya memfokuskan kepada penyampai radio Era dan mengacarakan program Era TV di Astro Ria bersama rakan penyampai lain.

"Setakat ini, saya tidak menerima tawaran lakonan atau pengacara rancangan, tetapi jika diberi peluang saya akan melakukan yang terbaik" katanya.

1 ulasan:

ADEEZPK berkata...

http://duidmvlaws.blogspot.com/