Meskipun pernah berdepan dengan episod cinta penuh luka, ia bukan penghalang untuk pelakon dan penerbit, Nasreen Ngasri, 26, yang popular dengan panggilan Darling menemui cinta baru.
Apa yang lebih menggembirakan Darling apabila cinta yang dijalin selama empat bulan itu berakhir dengan ikatan pertunangan yang berlangsung di rumah keluarganya di sini, Taman Batu Permai, Kuala Lumpur, (14/3).
Ternyata, keikhlasan dan kejujuran hati Nur Azlin Rahmat, 34, atau Azlin yang merupakan seorang pegawai pemasaran telah berjaya membuka hati Darling untuk menerima jejaka itu sebagai bakal suaminya.
Dalam majlis itu, anak kepada bekas juruhebah RTM, Ngasri Sain dan Habibah Jaafar itu menerima lima dulang hantaran termasuk sebahagian daripada wang hantaran berjumlah RM22,222.22, sirih junjung, senaskhah al-Quran, coklat serta sepasang kain persalinan.
Sebagai balasan, Darling menyerahkan tujuh dulang hantaran yang terdiri daripada butang baju Melayu, sirih junjung, songket, manisan dan coklat.
Menerusi hasil perbincangan kedua-dua belah pihak, masing-masing telah sepakat memilih 30 Mei ini sebagai tarikh pernikahan mereka.
Majlis persandingan pihak perempuan pula akan diadakan di rumah keluarga Darling di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur dan diikuti majlis menyambut menantu di rumah keluarga Azlin di Bukit Katil, Melaka seminggu selepas itu.
0 ulasan:
Catat Ulasan