RSS2.0

Abby Abadi Nafi 'Fomous'kan Zul

Isnin, 6 April 2009

Selepas perceraiannya dari Norman Hakim, diingatkan drama dalam hidup Abby Abadi sudah berakhir. Namun, sebaliknya yang terjadi. Lepas satu, satu kontroversi yang timbul, semuanya gara-gara persahabatannya dengan Zulkifli Ariffin, teman lakon terbarunya dalam drama bersiri ‘Gerak Khas’. Perhubungan mereka mula diperkatakan orang apabila dilihat ke mana-mana bersama, lebih-lebih lagi ketika itu Abby masih dalam tempoh edah.Pada bulan Januari lalu, perhubungan mereka sekali lagi dipersoalkan ramai selepas paparan ‘Melodi’ yang telah merakamkan detik mereka keluar bersama dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang selepas pulang dari Guangzhou, China. Bila diminta menjelaskan keadaan, mereka memberitahu lawatan ke Guangzhou ditemani dua orang rakan dan tujuannya atas urusan perniagaan.

Yang terbaru, Ahad lalu dalam akhbar Utusan Malaysia, dikatakan Abby kini seakan ‘pegawai promosi’ Zul, sibuk menolongnya mencari peluang berlakon. Ikutkan cerita, Abby telah mendesak seorang produser untuk mengambil Zul berlakon bersamanya dalam satu telemovie. Akhirnya, produser tersebut terpaksa bersetuju disebabkan “pujukan demi pujukan” Abby, walaupun perancangan awalnya ingin mencari pelakon lain.

“Ia (artikel itu) seakan-akan cuba menjatuhkan imej saya. Saya tak rasa benda ini ke tahap ‘pegawai promosi’. Saya cuma bagi cadangan pada produser. Ini bukan satu perkara baru. Pernah sebelum ini bila sebuah syarikat produksi itu mengambil saya berlakon, ada ditanya saya untuk mencadangkan pelakon-pelakon lain. Saya ada ‘recommend’ tapi ia terpulang pada produser untuk terima atau tidak. Dan bukan nama Zul sahaja yang pernah saya cadangkan,” jelas Abby bila ditemui petang semalam semasa sidang akhbar ‘Segalanya Ku Terima’.

“Cerita yang dikeluarkan kelihatan seakan saya merayu untuk digandingkan dengan Zul. Saya boleh berlakon apa-apa watak dan dengan sesiapa saja. Bila diminta menjelaskan perkara tersebut, penulis itu mengatakan ia sekadar gosip tapi ia menjatuhkan maruah saya, menampakkan yang saya ini tak laku. Bila menulis tu, perlulah berpada-pada, jangan berlebih-lebih. Tidak difikirkannya yang saya ada family, status saya...

“Sepanjang karier saya, perkara seperti ini tidak pernah berlaku. Saya tak suka gaduh-gaduh dengan sesiapa. Lagipun wartawan dan artis saling memerlukan. Saya tak kisah diusik. Dan saya tak rasa ini ikutan dari status saya sebagai janda. Sudah menjadi permainan dunia artis. Ia boleh berlaku pada sesiapa saja. Satu ketika dulu saya melihat ini semua sebagai gurauan. Tapi bila ia sudah sampai tahap mengaibkan saya, rasanya tindakan perlu diambil. Buat masa ini, saya sedang mendapatkan nasihat dari orang sekeliling dan mereka yang lebih berpengalaman.”

Zul, yang turut berada di sidang akhbar tersebut, bila diminta memberi komennya, menyoal kewibawaan produser tersebut. “Pelik bukan kerana dari penulisan itu nampak sejauh mana kuasa produser tersebut. Sepatutnya dia yang lebih tahu apa yang terbaik buat produknya. Jika sudah “terpaksa”, jangan guna kami.”

Tambahnya, jika benarlah penulisan itu ditulis sebagai gosip, mana mungkin informasinya begitu teliti sekali dari tajuk telemovie, untuk siaran dimana dan terang-terang menamakan orang yang terlibat.

“Perkara ini bukan main-main. Ia melibatkan kerja dan hidup. Penulisan itu bukan saja mencemarkan reputasi saya dan Abby malah mengganggu kerja kami. Ia juga memberi gambaran seakan kami ‘desperate’. Bila kami menerima tawaran itu, kami telah memberikan komitmen sepenuhnya. Tawaran-tawaran lain ditolak. Jadi bila perkara ini berlaku, ruginya kami,” terang Zul lagi.

Kata Abby, penulis itu ada meminta maaf dengannya namun semuanya sudah terlambat. Ceritanya lagi, nama Zul sebenarnya yang lepas dulu untuk produksi tersebut sementara namanya tidak. Tetapi produser tersebut mengatakan dia boleh ‘adjust’ skrip untuk memasukkannya sekali.

“Dia yang nak ambil kami berdua tapi lepas tu, lain pula ceritanya. Awalnya, ada timbul masalah komunikasi dengannya tentang jadual dan bayaran tapi diingatkan semuanya sudah diselesaikan dengan baik.

“Dan nak saya jelaskan juga, tidak adil bagi orang untuk cakap yang apa Zul dapat semuanya kerana saya. Saya cadangkan dia sebab rasakan dia ada kelebihannya, ada pakej. Tapi itu hanya cadangan. Kata putusnya pada produser. Kalau dia dapat job itu, itu rezeki dia, tidak boleh pertikaikan.”

Ekoran dari laporan itu, Abby dan Zul telah menarik diri dari produksi tersebut - “Saya yang tarik diri dulu. Zul buat keputusan itu atas dirinya sendiri.” Jelas Abby, apabila produser sendiri sudah nampak buruk pada dirinya, sukar untuknya terus bekerja dengannya. Menurutnya juga, produser itu kini nak saman mereka.

-Ehsan Gua-

0 ulasan: