Nasib nyata tidak berpihak kepada Qhaud atau Mohd Qhauhd Abdul Rashid apabila dia menjadi pelajar terbaru yang tersingkir dalam konsert minggu ke-6 program realiti Akademi Fantasia 7 (AF7), di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, malam tadi (18/4).
Membawakan lagu Seruan bersama kumpulan Lethanded, penyingkiran Qhaud telah diumumkan hos AC Mizal selepas pelajar yang berasal dari Selangor itu menerima jumlah undian terendah menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) daripada penonton.
Persembahan Qhaud pada malam ini bagaimanapun telah mendapat pujian daripada pengkritik tetapi nyata sudah terlambat untuk meraih undian penonton. Tidak keterlaluan dikatakan ia adalah persembahan terbaiknya setakat ini.
Konsert yang bersiaran secara langsung menerusi Astro Ria (Saluran 104) itu sekali lagi menampilkan kelainan di mana pelajartelah diberi tugasan untuk membawakan lagu daripada band muzik yang popular di Malaysia dan Indonesia iaitu Lefthanded, Estranged, Kristal serta Cokelat.
Sebagai kelainan, kesemua pelajar pada kali ini turut membuat persembahan dengan iringan band muzik itu sendiri. Mereka turut diuji cara berkomunikasi dengan penonton.
Selain Qhaud, persembahan pelajar lelaki malam tadi adalah Hafiz (Resam Pak Belalang/ Kristal), Akim (Aurora/ Estranged), Yazid (Ku Di Halaman Rindu/ Lefthanded) serta Aril (Yang Pernah/ Estranged).
Manakala persembahan pelajar perempuan adalah Claudia (Keindahan Pantai/ Kristal), Aishah (Segitiga/ Cokelat) dan Isma (Salah/ Cokelat). Lagu bonus adalah I Want To Break Free (Queen) dan What I've Done (Linkin Park).
Dengan penyingkiran Qhaud itu, bermakna tinggal 7 lagi pelajar akan meneruskan perjuangan mereka meraih gelaran juara AF7. Pengkritik yang bertugas malam tadi adalah Adlin Aman Ramlie, Edrie Hashim serta Dato' Khadijah Ibrahim.
Bagi menggamatkan suasana, Jozan (Johan & Zizan) turut diundang untuk membuat jenaka mereka bersama pelajar dan AC Mizal.
0 ulasan:
Catat Ulasan