RSS2.0

Era Populariti Mawi Jatuh Menjunam

Selasa, 14 April 2009

Banyak pihak yang sudah menjangka Mawi tidak akan mencapai kejayaan besar pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008. Dan ramalan tersebut ternyata benar apabila Mawi gagal mempertahankan gelaran Bintang Paling Popular yang pernah dipegangnya selama tiga tahun berturut-turut termasuklah pada ABPBH tahun lepas.

Sebaliknya Mawi hanya berupaya mempertahankan gelaran Penyanyi Lelaki Popular yang memang sudah dijangka menjadi miliknya.

Gara-gara itu banyak pihak yang menyifatkan populariti Mawi kini semakin merudum dan ianya berpunca daripada perkahwinannya dengan pelakon jelita, Nora’Ashikin Rahmat atau lebih dikenali sebagai Ekin.

Mawi ketika ditemui memberitahu dia menerima segala keputusan yang telah diumumkan itu dengan hati terbuka.

Katanya semua itu adalah ketentuan takdir dan dia tidak kisah dengan tanggapan segelintir pihak yang mengatakan popularitinya semakin menurun. Malah katanya untuk kategori Penyanyi Lelaki Popular sekalipun dia tidak pernah memasang angan-angan untuk mempertahankannya kerana sedar persaingan semakin sengit. Apatah lagi keputusan tersebut seratus peratus dibuat oleh para peminat.

"Saya tak tergugat pun dengan Nabil. Dia seorang pelawak dan saya seorang penyanyi. Kami memang berbeza dan saya tak ada masalah pun kalau dia menang. Malah saya tumpang gembira dengan kejayaannya. Cuma ini soal rezeki dan pada tahun ini giliran Nabil untuk merangkul gelaran Bintang Paling Popular. Ini menunjukkan negara kita mempunyai ramai bakat baru sebagai pelapis dan pada saya ianya adalah satu perkembangan yang sihat," ujarnya yang kelihatan tenang di samping isteri tercinta, Ekin.

Dia juga tidak melihat perkahwinannya sebagai menggugat popularitinya kerana selama ini perkembangan kerjaya seninya masih berjalan seperti biasa. Malah dia tidak putus-putus menerima pelbagai tawaran mengadakan persembahan pentas walaupun pada zaman kegawatan ini.

Tambahnya walaupun Maestro kini sudah ditutup namun kerjaya seninya masih berjalan lancar di bawah sistem pengurusan baru iaitu Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB). Terbaru dia akan mengembara ke Melbourne, Australia dan Itali untuk menghasilkan program ‘Langkah Mawi’ untuk musim yang kedua.

Sementara itu, Ekin yang bersetuju dengan pendapat suaminya itu memberitahu, Nabil seorang pelawak dan pelakon berbakat besar yang sangat disenangi kini. Jadi dia memang berhak untuk merangkul gelaran tersebut dan yakin semua pihak berpuas hati dengan keputusan tersebut.

"Kami semua dah macam kawan-kawan. Tak kisah siapa yang menang. Bila Nabil menang, saya dan Mawi pun tumpang gembira dan mendoakan kejayaannya.

"Tentang spekulasi segelintir pihak yang mengatakan populariti Mawi semakin menurun, kami menyerahkannya kepada penilaian peminat. Sehingga kini kami menerima banyak respon positif daripada peminat tentang Mawi," jelasnya yang kini bergelar duta jenama tudung Ariani.

Bercerita tentang kehidupan peribadi yang dilalui oleh mereka kini, pasangan romantis ini memberitahu mereka bahagia dengan apa yang dilalui. Namun buat masa ini Ekin masih belum menunjukkan tanda-tanda berbadan dua dan mereka sedang berusaha keras ke arah tersebut.

"Selepas keguguran, saya mahu beri sedikit masa pada diri saya. Namun saya berdoa agar dipercepatkan mendapat anak dan berharap peminat akan sama-sama mendoakan kebahagiaan kami. Buat masa ini kami masih berusaha," katanya sambil tersenyum penuh makna.

-Gua

0 ulasan: