Jika Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman memilih anak dara, Rozana Misbun sebagai isteri baru selepas bercerai dengan Arni Nazirah Anuar, 31, bekas isterinya pula menjadi pilihan seorang teruna untuk dijadikan pasangan hidup.
Dengan hanya sekali lafaz, Arni sah bergelar isteri kepada bekas kekasih yang juga rakan sekolahnya, Wan Mohd Hazrie Wan Mokhtar, 32, dalam majlis akad nikad di sini, petang semalam.
Pelakon dan penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Antara Benua itu selamat dinikahkan di Masjid Abidin atau lebih dikenali Masjid Putih di sini tepat jam 3.40 petang oleh Jurunikah Mukim Bukit Besar, Ahmad Awang.
Sebaik doa diaminkan, ibu Arni, Noraini Nong, 50, kelihatan mengesat air mata tanda syukur dan sesekali tersenyum sebelum dilihat menghampiri tetamu mempelawa keluarga kedua-dua pihak yang hadir menjamu selera di rumah pengantin perempuan.
Pasangan itu dinikahkan dengan mas kahwin RM100 dan hantaran RM7,777.77. Pihak lelaki menyediakan sembilan dulang hantaran dan dibalas jumlah sama pihak perempuan.
Arni yang kelihatan anggun berbusana putih sedondon dengan suaminya, berkata walaupun gementar pada mulanya, dia bersyukur kerana majlis berjalan lancar dan kedua-dua keluarga merestui perkahwinan mereka.
“Dua anak saya hasil perkahwinan terdahulu, Puteri Aleeya Antasha, 9, dan Puteri Aleefa Antasha, 6, juga menerima baik serta menyukai suami baru saya dan akan memanggilnya papa,” katanya.
Menceritakan mengenai perkenalannya dengan Hazrie, Arni berkata, dia bertemu semula dengan suaminya itu secara kebetulan.
“Kami kenal sejak menuntut di sekolah menengah, tetapi berpisah agak lama sebelum bertemu semula secara kebetulan.
“Saya berkenan dengan Hazrie kerana dia seorang yang bertanggungjawab, beriman dan mengambil berat terhadap saya dan keluarga,” katanya ketika ditemui Harian Metro.
Mengenai kariernya selepas ini, Arni berkata, ia bergantung kepada keadaan serta perbincangan bersama suami dan akan akur dengan sebarang keputusan.
Sementara itu, Wan Mohd Hazrie yang juga seorang ahli perniagaan berkata, walaupun mereka pernah ‘bercinta’ dan putus di tengah jalan, dia mengambil masa hampir dua tahun untuk berfikir menyambung kembali hubungan mereka secara serius.
“Apa yang penting, restu serta sokongan kedua-dua keluarga memberi harapan dan hikmah kepada saya. Saya terima Arni sebagai jodoh kerana dia lemah-lembut, senang berkira dan serasi.
“Saya tak kisah dan tiada masalah dengan status Arni sebagai artis dan mempunyai dua anak. Saya akan menjaga mereka seperti keluarga sendiri,” katanya.
Ehsan myMetro
0 ulasan:
Catat Ulasan