RSS2.0

Shukery Hashim Menghidap Barah Pankreas

Selasa, 28 April 2009

Pelakon veteran filem dan drama, Shukery Hashim di masukkan ke Hospital Selayang, Selangor sejak dua hari lalu kerana menghidap barah pankreas.

Akibat barah yang dihidapinya, berat badan pelakon itu merosot 10 kilogram dan doktor mencadangkan supaya beliau membuat rawatan kimoterapi.

Rakan rapatnya yang juga aktres terkenal, Azean Irdawaty berkata, keadaan Shukery agak serius kerana menghidap barah tahap keempat dan ia sudah merebak ke hati.

“Beliau bertanya kepada saya bagaimana dan apakah kesannya kerana saya pernah melalui pengalaman rawatan seperti itu,” katanya selepas melawat pelakon itu.
Azean sebelum ini menjalani rawatan kimoterapi kerana menghidap barah payu dara.

Shukery, berumur 55 tahun berasal dari Langkawi, memulakan kerjaya lakonan menerusi drama radio pada 1975 di RTM dan berlakon untuk TV pada 1987.

Beliau pernah berlakon filem seperti Rahsia arahan Othman Hafsham pada 1987. Selepas itu, berlakon dalam filem Syahadat, Ujang, Pesona Cinta, Seri Dewi Malam, Janji Diana dan terbaru filem Shh...Dia Datang.

Beliau dipilih sebagai Pelakon Terbaik di Anugerah Sri Angkasa pada 1990; Pelakon Drama TV Terbaik di Anugerah Sri Angkasa (1994) dan Pelakon TV Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) pada 1995.

Azean berkata, ketika menziarahinya, keadaan Shukery agak murung dan pelakon itu memerlukan sokongan moral daripada rakan seperjuangan.
“Dia memang agak sedih. Dia ada menyuarakan kerisauan kepada saya mengenai nasib yang menimpa dirinya itu sama dengan apa yang dialami oleh M Rajoli.

“Semangatnya memang sudah merosot. Saya berharap ada kawan dapat menziarahinya untuk memberikan sokongan kepada Shukery,” kata Azean lagi.

0 ulasan: