RSS2.0

Nana Era FM Buat Majlis Kahwin Besar-besaran

Rabu, 15 April 2009

Sebelum ini timbul cerita mengatakan penyampai radio Era, Nurul Hana Che Mahazan atau Nana, tidak mahu majlis pernikahannya dihebohkan kerana ia akan dilakukan secara kecil-kecilan.

Peserta Akademi Fantasia musim pertama (AF1) yang bakal mendirikan rumah tangga dengan Pengurus Saluran Hitz FM, Mohammad Raqeem Brian Abdullah itu juga dikatakan tidak mahu menjemput wakil media pada hari bersejarahnya itu.
Bagaimanapun, baru-baru ini sewaktu perkara itu ditanyakan kepada Nana sendiri, personaliti berasal dari Muar, Johor itu menafikannya.

Katanya, tidak mungkin majlis dirancang itu akan diadakan secara kecil-kecilan kerana bapanya sendiri ingin menjemput tetamu seramai mungkin.

Terang Nana lagi, kalau hendak diikutkan dia dan Brian memang mahu mengadakan majlis pernikahan dan persandingan secara sederhana, namun pada waktu sama dia sedar sebagai anak perempuan tunggal dalam keluarga sudah tentu bapanya mahu tengok kemeriahannya turut dikongsi bersama saudara dan sahabat handai.

Bayangkan, cerita Nana, bapanya yang bertugas sebagai pegawai polis turut merancang menjemput rakannya yang pernah bertugas bersama di balai atau jabatan di seluruh Malaysia untuk hadir ke majlis bakal diadakan.

Katanya lagi, dalam hal ini tak mungkin dia tidak mahu menjemput rakan media yang banyak menyokong kerjaya seninya. Kalau boleh dia mahu mereka turut sama meraikannya.

Sebelum ini apabila ditanya mengenai tarikh majlis pernikahan dan persandingan dipilih, Nana merahsiakan dengan alasan ia belum ditentukan lagi.

Bagaimanapun, seperti yang diketahui umum, baru-baru ini Brian menjelaskan mereka memilih untuk bernikah pada Jun ini. Apa-apa pun penulis mengharapkan segala perancangan dilakukan pasangan ini berjalan lancar dan tidak sabar rasanya untuk menyaksikan hari bersejarah mereka berdua.

0 ulasan: